ALLAHYARHAM TOK KU SYED SAGGAF BIN SYED ABDUL RAHMAN AL-IDRUS

(ENGKU KELANA DI-RAJA)



Beliau adalah merupakan salah seorang dari kalangan bilangan anak yang ramai kepada Syed Abdul Rahman Bin Syed Muhammad al-Idrus atau dikenali ramai sebagai Tok Ku Paloh yang merupakan salah seorang daripada orang terpelajar dalam bidang agama dalam Sejarah Negeri Terengganu sementara ibunya pula Wan Ngah Binti Wan Abdullah adalah cucu kepada Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Mufti pertama Negeri Terengganu.

Tok Ku Syed Saggaf telah meneruskan warisan ayahandanya dalam bijak memperdayakan serta mengelakkan pihak British daripada campur tangan serta memperluaskan pengaruh mereka dalam Negeri Terengganu.

Beliau adalah merupakan seorang penasihat Di-Raja dalam Istana Terengganu dalam zaman pemerintahan Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Kerana jasa-jasanya, beliau telah dianugerahkan gelaran ‘Engku Kelana Di-Raja’ satu-satunya gelaran yang jarang diberikan dan hanya dianugerahkan kepada penerima dari kalangan keturunan Syed.

Tok Ku Syed Saggaf telah dilahirkan di Hiliran, Kuala Terengganu daripada golongan kaum keluarga Syed yang kuat beragama. Beliau telah menerima pendidikan awal daripada Tok Ku Paloh sendiri dan selepas kematian ayahandanya oleh Haji Abdul Rahman Limbong yang merupakan salah seorang anak murid Tok Ku Paloh dan wira pejuang kemerdekaan yang mengepalai penentangan penduduk tempatan terhadap penjajahan pihak British.

Di masa hayatnya, ramai yang akan datang bertumpu di tempat beliau untuk belajar agama Islam dan ada dari kalangan mereka yang telah datang dari luar Negeri Terengganu seperti Pahang, Kelantan, Selangor dan dari negara-negara lain seperti Indonesia, Thai dan Kemboja umpamanya.

Beliau telah dianugerahkan sebidang tanah di Gong Kapas oleh bekas Sultan Terengganu iaitu Sultan Mohamad ibni Sultan Zainal Abidin III untuk beliau memerintahnya serta mengajar agama Islam. Di atasnya, beliau telah mewujudkan satu komuniti yang berdikari dimana beliau telah merancang serta menyusun penduduknya yang terdiri daripada isteri-isterinya, anak-anaknya serta pengikut-pengikutnya dan juga telah mengadakan keperluan-keperluan mereka seperti kemudahan-kemudahan seperti surau untuk belajar agama serta sebuah gelanggang luar untuk beliau mengajar silat.

Bukan sahaja Tok Ku Syed Saggaf seorang yang terpelajar dalam bidang agama malahan beliau juga pandai dalam seni bela diri silat dan seorang empu membuat senjata melayu seperti keris. Semasa hayatnya beliau telah berjaya menghasilkan lebih kurang lima belas senjata yang sangat halus dan bermutu tinggi yang mana ianya sehingga ke hari ini menjadi idaman serta buruan pengemar antik serta pencinta seni.

Tok Ku Syed Saggaf kekal menjadi seorang yang sangat merendah diri serta tampak biasa ke akhir hanyatnya walaupun beliau mempunyai kedudukan tinggi dan pengaruh kuat dalam Istana Di-Raja serta sangat dikasihi oleh masyarakat Negeri Terengganu. Beliau meninggal dunia dalam tahun 1953 sebelum sempat meyaksikan lahirkan sebuah negara yang merdeka namun semangat serta kelincahan politiknya akan lama dikenang oleh penduduk Negeri Terengganu.

Beliau telah meninggalkan ramai zuriat dan di antaranya mereka ialah Tuan Ehran, Tuan Jalal, Tuan Saibi, Tuan Saripah dan Tuan Lok Lok.



SUMBER DARIPADA PIHAK KELUARGA ALLAHYARHAM TOK KU SYED SAGGAF BIN SYED ABDUL RAHMAN AL-IDRUS DI GONG KAPAS


NOTA

UNTUK BACAAN YANG LEBIH MENYELURUH:

Sejarah Peribadi Syed Saggaf Bin Syed Abdul Rahman al-Idrus
Dari kacamata anak-anak serta mereka yang sempat menggenali
Pengarang: Alam Shah Hassan

Hanya bagi rujukan sahaja dan berada dalam simpanan
  • Muzium Negeri Terengganu
  • Perpustakaan Negeri Terengganu
  • Arkib Negara (Cawangan Terengganu/Pahang)